Wednesday, November 18, 2009

Di sebalik Laporan Tanah Runtuh Bukit Antarabangsa

Tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Mewah Bukit Antarabangsa pagi 7 Disember 2008 lalu masih segar dalam ingatan rakyat Malaysia, khususnya keluarga mangsa dan penduduk sekitar walaupun sudah hampir setahun berlalu.

4 terkorban manakala 14 buah banglo tertimbus manakala beratus-ratus lagi penduduk berdekatan terpaksa memilih samada meninggalkan atau berserah terus kekal menetap di Bukit Antarabangsa.

Dengan kehendak Allah S.W.T, 5 bulan sebelum kejadian, saya membuat keputusan membeli sebuah rumah tidak jauh dari tempat kejadian. Namun ketika kejadian berlaku, proses jual beli belum dimuktamadkan. Sudah pasti menjadi pertimbangan saya ketika itu samada untuk meneruskan jual beli atau menarik diri sahaja. Nyawa atau harta. Saya pasti majoriti penduduk Bukit Antarabangsa turut menimbang hal yang sama ketika itu.

Pemandangan dari rumah saya empat bulan selepas kejadian


Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Cawangan Cerun telah melancarkan siasatan terperinci terhadap punca runtuhan tersebut. Menteri berkenaan memberi jaminan akan mengadakan kajian menyeluruh dan mengambil kira pandangan-pandangan teknikal pakar.

Laporan sudah siap namun Menteri berkenaan berkata laporan tidak akan dikeluarkan untuk maklumat umum. Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid sendiri kecewa kerana beliau sendiri tidak dapat melihat laporan tersebut pada hari JKR mengumumkan laporan tersebut telah disiapkan.


Hampir setahun berlalu, rakyat masih tertanya-tanya apakah hasil siasatan dan kajian pakar terhadap perkara sebenar yang berlaku di sebalik runtuhan tersebut. Adakah rakyat khususnya penduduk Bukit Antarabangsa tiada hak untuk mengetahui punca runtuhan tersebut?

Rupa-rupanya laporan tersebut terus disembunyikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Mengapa ia perlu diklasifikasikan sebagai rahsia besar negara? Adakah laporan tersebut terkandung perkara yang boleh membahayakan negara??


Akhirnya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid pada Rabu 18 November menggunakan haknya selaku Menteri Besar untuk mendeklasifikasikan rahsia ini di bawah peruntukan Seksyen 2c Akta Rahsia Rasmi.

"Menurut Khalid, faktor utama yang dikenalpasti penyebab runtuhan tanah itu berpunca dari kebocoran paip air dari saluran paip air yang aktif di rumah terbengakalai yang meningkatkan kandungan air dalam tanah di kawasan kegagalan cerun."

Adalah penting kajian yang cuba dilindungi oleh OSA ini didedahkan kepada umum, kerana ianya melibatkan kepentingan umum. Ini berkait dengan soal nyawa dan kesinambungan sosio masyarakat di Bukit Antarabangsa. Adalah tidak adil untuk rakyat dinafikan perkara sebenar di sebalik peristiwa ini kerana penduduk Bukit Antarabangsa yang menanggung kesannya. Menurut Khalid lagi

"Menurut laporan Jawatankuasa Teknikal Kajian Runtuh, terdapat tiga gelinciran yang berlaku pada hari kejadian yang setiap satunya hanya berselang tiga ke lima minit.

Beliau bersedia untuk bertemu dengan penduduk di Bukit Antarabangsa bagi mengkaji serta menyelesaikan permasalahan mereka.

“Saya harap masyarakat di Bukit Antarabangsa akan mengetahui keadaan sebenar kejadian tanah runtuh tersebut dan kerajaan negeri akan membuat perjumpaan dengan mesyarakat disana pada awal Januari ini,bagi mengkaji semula apakah pengajaran yang kita dapati dan bagaimana cara untuk mengatasi masalah dicerun itu dan bagaimana cara untuk membantu mereka serba sedikit yang mengalami tragedi Bukit Antarabangsa,”katanya."

Rakyat boleh menerima kenyataan dan boleh juga membuat persepsi. Tindakan menutup rahsia ini di bawah OSA telah menimbulkan persepsi. Adakah tindakan ini untuk menyelamatkan pemaju rumah terbengkalai tersebut?Atau menutup kecuaian pihak yang memberi kelulusan pelan pembangunan? Apakah Malaysia akan dipandang remeh oleh dunia kerana terpaksa mengisytiharkan sebuah kawasan perumahan sudah tidak selamat diduduki??

Saya pasti ramai penduduk Bukit Antarabangsa lega dengan pendedahan ini. Kami berhak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Mungkin peristiwa ini sudah menjadi sejarah, namun biarlah ia sejarah yang boleh diambil iktibar.

Demokrasi bukan sekadar diterjemah melalui sistem pilihanraya semata-mata. Demokrasi adalah menghormati hak rakyat. Demokrasi turut menjamin hak rakyat untuk mendapatkan informasi apatah lagi apabila melibatkan kepentingan umum.

Semoga kepimpinan kerajaan negeri Selangor akan terus teguh menegakkan demokrasi tulen seperti yang terkandung di dalam komitmen Bajet 2010 Selangor. Teruskan komitmen dan bukan retorik.

No comments: